Assalamualaikum,
Article ni dapat dari email ayah aku. Mesti ada yang cakap "mende ar muda lagi kot. Gatai sangat dah tuu" NO. Ni bukan pasal gatal tapi kahwin awal banyak kebaikan kan compare to kalau bercinta saja saja. Buang masa. Bukan aku tak pernah tapi ye lah nak kawin tapi tak de calon :< hahahahahaha k ni saja lah nak kongsi ;)
Terdetik hati mahu berumah tangga
apatah lagi apabila tengok kawan sebaya mula dukung anak sendiri. Tapi otak
ligat memikirkan wang hantaran dan kos perbelanjaan kahwin yang mahal, hasrat
mula terbantut ditambah pula dengan gaji bulanan ‘ciput’. Apa nak buat?
Sudahnya pelan kahwin tertangguh hingga tak sedar umur kian bertambah.
Bagi pasangan muda, keinginan untuk
bina mahligai memang membuak-buak, namun kekangan hidup di kota dengan kos sara
hidup tinggi buatkan hajat terbengkalai seketika. Pelbagai cara dicuba untuk
simpan wang tapi sudahnya, jumlah simpanan masih paras sama.
Berborak dengan beberapa kenalan
penulis yang sudah berumah tangga, mereka menasihatkan jika belum cukup duit
atau memang tiada wang untuk berkahwin, jalannya hanya satu. Perlu membuat
perancangan rapi dan disiplin tinggi untuk capai keinginan. Sebaik-baiknya
rancang persediaan kahwin lebih awal dan jangan lupa, wujudkan sedikit simpanan
setiap bulan untuk hidup selepas majlis kahwin nanti. Ini adalah antara cara
untuk anda elakkan daripada buat pinjaman wang untuk berkahwin.
Mula lebih awal
Kepada pasangan muda ingin
berkahwin, dinasihatkan semak cara perbelanjaan setiap bulan. Adakan senarai
keperluan. Seeloknya bincang bersama-sama pasangan dan tetapkan tempoh sesuai.
Bagi yang belum ada pasangan, jangan ambil mudah. Tak semestinya tiada pasangan
ketika ini, anda takkan akan berkahwin kelak, jadi isu ini juga berkaitan dengan anda.
Rahsianya, mulakan lebih awal. Berbincang mengenai majlis, wang simpanan atau
apa saja berkaitan perlu dilakukan awal untuk elakkan masalah kemudian hari.
Jika dilakukan saat akhir, situasi akan jadi kelam-kabut dan aturan kewangan
juga terganggu.
Kaedah menyimpan wang sebenarnya ada 1001 macam cara, yang utama adalah
disiplin dan kita tahu apa kemahuan diri. Sebaik-baiknya, mulakan amalan
menabung daripada dapat gaji pertama. Perlu diingatkan, menyimpan wang bukannya
untuk dihabiskan buat kenduri kahwin, tetapi bermacam-macam lagi kegnaannya.
Perempuan jangan lepas tangan
Selalunya kalau berbincang isu kahwin dan kumpul duit, orang akan fikir ia
tanggungjawab lelaki, tapi hakikatnya beban ini perlu ditanggung bersama-sama.
Memanglah ada duit hantaran, tapi perlu diketahui bukan semua keluarga gunakan
duit terbabit untuk tanggung kos kenduri. Duit hantaran untuk menampung sedikit
sebanyak kos itu ini dalam majlis resepsi.
Ada juga kisahnya duit hantaran diberi terus pada anak perempuan selepas
kenduri atau dibahagi sama rata dengan mak ayah. Jadi kesimpulannya, si gadis
juga perlu bebankan otak jangan hanya biarkan si jejaka ‘kacau kepala’.
Pengalaman mendirikan rumah tangga dikongsi Nur Nasirah Maulod, 23, yang
berkata, zaman sekarang memang perlu berkongsi apa saja untuk hidup terutama
babitkan isu kahwin. Katanya, dia dan suami sama-sama menabung untuk berkahwin.
“Kalau cuma biarkan lelaki yang keluarkan duit untuk belanja kahwin memang
susahlah. Bayangkan nak adakan majlis kahwin di kedua-dua belah pihak,
sekurang-kurangnya perlu ada RM25,000 untuk taraf sederhana.
“Sebagai perempuan, kita impikan perkahwinan yang cukup untuk tinggalkan
kenangan indah. Tak perlu berbelanja mewah, cukuplah dengan bajet yang ada.
Untuk majlis kahwin sebelah saya, saya gunakan wang sendiri selain dibantu
dengan duit hantaran. Secara tak langsung dapat ringankan beban lelaki,”
katanya.
Kerja ‘part-time’
Untuk yang bekerja makan gaji, boleh jana pendapatan dengan buat kerja sambilan
(part-time). Sudah diketahui 9 daripada 10 punca rezeki datangnya daripada
perniagaan, oleh itu apa salahnya berniaga kecil-kecilan untuk tambah wang
tabung kahwin.
Mungkin persoalan di mana nak dapatkan modal, tiada pengalaman, tak cukup masa
dan sebagainya akan buatkan fikiran terganggu sama ada mahu teruskan misi
mencari duit lebih, namun jawapannya perlu tekad untuk memperoleh sesuatu.
Contohnya, mulakan dengan menjual barang peribadi yang belum atau sudah
dipakai. Lelong barang dengan harga jualan terpakai mungkin boleh menarik minat
pembeli. Hasilkan kek cawan menarik bagi mereka yang suka memasak, sandwic
dijual di pejabat atau kerepek dapat tingkatkan duit tabungan. Selain itu,
kerja di kedai serbaneka 24 jam, pam minyak atau menjadi jurujual sementara
juga dapat membantu. Cuma perlu aturkan masa dengan bijak supaya rasa letih
berkurangan.
Menabung bersama
Tip untuk elakkan pasangan muda buat pinjaman perkahwinan, anda boleh menabung
bersama-sama. Jika masih belum mencukupi ataupun gaji di paras sederhana, cuba
rancang perkahwinan ikut kemampuan.
Diakui Mohd Syazwan Mohamed Shah Affendi, 26, yang menjelaskan jika kebanyakan
pasangan muda memilih untuk membuat pinjaman wang perkahwinan, dia lebih senang
berusaha lebih dengan menabung.
“Sebolehnya saya tak mahu buat pinjaman, oleh itu saya hadkan masa dua tahun
untuk menabung. Saya mula menabung pertengahan tahun lepas (2012) dan bercadang
untuk adakan majlis pada Mei tahun depan. Saya dan pasangan peruntukkan kurang
lebih RM1,000 untuk simpan setiap seorang.
“Mungkin kedengaran jumlahnya banyak, tapi perlu disiplin kalau betul-betul nak
kahwin. Bajet perkahwinan kami sekitar RM50,000 untuk kedua-dua pihak, sebab
itu kena berusaha lebih, kerja keras sikit nak capai sasaran. Bayangkan lebih
kurang RM2,000 sebulan mungkin dalam tempoh 24 bulan kami dapat kumpul
RM48,000, tambah sikit duit tabungan yang lain. Insya-Allah, boleh. “ katanya.
Katanya, bagi mereka kurang mampu menabung dalam jumlah tinggi mungkin boleh
mulakan dengan RM500 sebulan. Tapi ia perlukan dilakukan kedua-dua belah pihak.
Jika mengharapkan sebelah pihak, mungkin hasrat untuk berkahwin perlu dilanjutkan
lagi.
Tahan nafsu
Semua orang sukakan barangan berjenama, kalau boleh setiap kali gaji masuk
pastinya tas tangan baru ditambah dalam koleksi sedia ada. Tapi perlu
diingatkan, mahukan sesuatu berjenama, berkualiti, harganya juga setanding
dengan gaya. Waktu ini perlu tahan nafsu dan sentiasa ingatkan di kepala, anda
perlu menyimpan wang untuk berkahwin.
Kurangkan janji temu pada setiap hujung minggu. Memanglah sebolehnya kita mahu
menghadap muka kekasih 24 jam tetapi anda perlu tahu, setiap kali melangkah
keluar dari rumah, akan ada wang mengalir keluar daripada dompet. Pertimbangkan
hal ini!
Pada zaman moden serta kecanggihan teknologi serba baru ini, seperti ada
tarikan magnet untuk membeli gajet terbaru di pasaran. Duit bonus belum dapat
tapi sudah terbayang gajet terkini dalam genggaman. Mudah saja, kurangkan ambil
tahu perihal gajet dan jadikan diri anda seorang yang ketinggalan zaman. Hanya
untuk sementara waktu saja, ini semua untuk kepentingan masa depan.
Jika tinggal di rumah sewa, kurangkan makan di luar. Dan lebih berkesan
kurangkan menjamu selera di restoran mewah, lebihan duit makan tengah hari
boleh dimasukkan dalam tabung dan pada sebelah malamnya, masaklah sesuatu untuk
kenyangkan perut.
Bermacam-macam lagi tip untuk pasangan muda bina mahligai impian tanpa perlu
buat pinjaman. Sesiapa saja sebolehnya mahu elak untuk meminjam wang, tetapi
keadaan ada kalanya memaksa. Mungkin dengan ubah cara hidup buat seketika,
lebih berdisiplin dan menabung dengan aktif dapat merealisasikan hasrat anda.
Apa salahnya tahan tekanan buat sementara, asalkan dapat senyum lebar di
kemudian hari.
No comments:
Post a Comment